Terjemahkan halaman dengan Google

Artikel Publication logo Agustus 31, 2023

Penyembuhan Tasik Chini lepas berdekad 'dicabul'

Negara:

Penulis:
Malaysia
Inggris

Tasik Chini in Malaysia used to be the main source for water and food. But the biosphere reserve isn...

author #1 image author #2 image
Berbagai penulis
SECTIONS
story image
Teratai merah muda bermekaran di danau Tasik Chini. Foto oleh Azneal Ishak/Malaysiakini. Malaysia, 2023.

Serumpun teratai merah jambu terapung di air keruh Tasik Chini melewati sampan yang dikemudi oleh Yom, seorang penduduk Orang Asli suku Jakun di tasik air tawar semulajadi kedua terbesar di Malaysia.

Walaupun ini jauh berbeza dengan bunga teratai yang terkenal di Tasik Chini, ia sudah cukup untuk menarik senyuman Yom, juragan sampan itu.


Sebagai organisasi jurnalisme nirlaba, kami mengandalkan dukungan Anda untuk mendanai liputan isu-isu yang kurang diberitakan di seluruh dunia. Berdonasi sesuai kemampuan Anda hari ini, jadilah Pulitzer Center Champion dan dapatkan manfaat eksklusif!


"Adalah sikit-sikit teratai sekarang. Sana setempat, sini setempat.

“Teratai tumbuh balik, maksudnya tasik ni nak pulih," kata Yom (gambar, bawah) kepada Malaysiakini.


Foto oleh Azneal Ishak/Malaysiakini. Malaysia, 2023.

Penduduk tempatan memberitahu Malaysiakini bahawa air tasik itu dahulunya sangat bersih dan boleh diminum serta menjadi sumber rezeki yang penting buat mereka.

Pencerobohan hutan sekitar dalam beberapa dekad kebelakangan ini menyebabkan kelodak dan melarutkan enapan sisa kimia dari lombong.

Perkara ini dianggap telah mengurangkan bunga teratai yang pernah terkenal di tasik itu.

Keadaan itu kini bertambah baik selepas titah diraja oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Sultan Abdullah (gambar, bawah) pada Jun 2021 untuk menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini.


Foto milik Malaysiakini.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, sebuah pertubuhan proalam sekitar, turut menyedari perubahan di Tasik Chini sejak lombong itu berhenti beroperasi ditambah pula dengan usaha pemuliharaan.

Kualiti air bertambah baik

Pemerhatian Yom dan MNS Pahang sepadan dengan analisis air baru-baru ini yang dijalankan secara bebas oleh Malaysiakini dengan kerjasama Dana Kewartawanan Hutan Hujan Asia Tenggara (RJF) Pulitzer Center.

Mengikut keputusan ujian pada Mac itu, sampel yang diambil di lima lokasi di seberang tasik menunjukkan kepekatan rendah logam berat seperti besi (Fe), kuprum (Cu), nikel (Ni) dan aluminium (Al).


Foto milik Malaysiakini.

Ini sangat berbeza dengan beberapa siri analisis kualiti air oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang antara 2016 dan 2020, yang menemui kepekatan tinggi logam berat seperti besi (Fe) dan mangan (Mn) di Tasik Chini.

Laporan JAS Pahang itu mendapati kepekatan besi tertinggi adalah pada 2019 dengan purata 3.81 miligram seliter. Bacaan terendah dalam tempoh lima tahun ialah pada 2018 dengan 1.25 mg/l, manakala pada 2020, ia adalah 2.54 mg/l.

"Kehadiran logam berat ini selalunya dikaitkan dengan aktiviti perlombongan atau pembuangan sisa industri yang berasaskan besi di mana sisa buangan itu disalurkan terus ke dalam tasik," kata laporan profil kualiti air Tasik Chini.

Kementerian Kesihatan menyatakan paras besi selamat dalam air minuman hendaklah di bawah 0.3 mg/l manakala bagi mangan 0.1 mg/l.


Foto milik Malaysiakini.

Pemerhatian Malaysiakini ke lapangan juga mendapati sedikit perubahan pada tahap kekeruhan air tasik semasa lawatan kami baru-baru ini pada Mac dan Mei lalu.

Sebagai perbandingan, sebahagian besar air tasik itu pada masa lalu berwarna kemerah-merahan dengan bertukar menjadi lebih gelap di Tasik 9, yang lebih dekat dengan kolam perlombongan terbiar.

Ini tidak lagi berlaku pada tahun ini, dengan kekeruhan kebanyakannya konsisten di seluruh tasik.

Pakar kualiti air Zaki Zainudin (gambar, bawah) berkata air berwarna merah biasanya dikaitkan dengan kehadiran besi, yang boleh disebabkan oleh hakisan atau faktor lain seperti keasidan.


Foto milik Malaysiakini.

"Kehadiran logam besi yang terlalu tinggi kadang-kadang juga memberi indikasi kehadiran logam lain seperti manganese.

"Tetapi jika benar sekarang tiada lagi warna kemerahan, maka Alhamdulilah semoga ia menunjukkan keadaan yang beransur pulih,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, menurut Zaki, mungkin masih terlalu awal untuk meraikannya kerana hasil ujian itu hanya dibuat sekali sahaja manakala Tasik Chini memerlukan pemantauan berterusan.

Jalan jauh ke depan

Dengan aktiviti perlombongan dihentikan, pakar kualiti air itu percaya terdapat 'cahaya di hujung terowong' untuk Tasik Chini.

Jasad air, kata Zaki, mempunyai keupayaan semula jadi untuk "sembuh" melalui proses fizikal, kimia dan biokimia yang dikenali sebagai kapasiti asimilasi.

"Degradasi atau pencemaran hanya berlaku apabila bahan pencemar yang masuk ke dalam jasad air, secara berterusan, melebihi kapasiti asimilasi.

"Dalam erti kata lain, jika punca pencemaran (yang masuk secara berterusan) dapat dikawal (atau dihentikan) maka, lazimnya, jasad-jasad air boleh melalui proses pembersihan secara semulajadi," jelasnya.


Foto milik Malaysiakini.

Bagaimanapun, Zaki berkata sukar untuk menganggarkan berapa lama masa yang diperlukan untuk tasik itu pulih sepenuhnya dan menjadi murni sekali lagi.

Ia bergantung banyak faktor termasuk saiz tasik, taburan hujan, ciri mineral dan saiz kolam takungan lombong yang terdedah ke tasik itu.

"Cumanya dari data kualiti air yang di cerap tempoh hari, nampaknya macam keadaannya semuanya agak 'normal'.

"Berdasarkan data daripada (analisis JAS ini), saya dapati paras besi (Fe) dan mangan (Mn) melebihi paras yang disyorkan KKM untuk air minum, iaitu pada paras > 0.3 mg/L dan > 0.1 mg/L.

"Data yang dicerap (Malaysiakini) tempoh hari pun Fe > 0.3 mg/L," jelasnya lagi

Penanaman semula

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Pahang menganggarkan hutan Tasik Chini memerlukan antara 15 hingga 20 tahun untuk pulih, menurut Pengarahnya Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Dia berkata kawasan tanah itu telah kehilangan banyak nutriennya, yang penting untuk pertumbuhan pokok yang baru-baru ini ditanam semula di Tasik Chini di bawah usaha bersama oleh pelbagai pihak berkepentingan.

"Kita memerlukan pokok yang sesuai untuk bekas lombong itu, termasuklah Meranti Temak Nipis, Batai, Kasai dan beberapa spesies lain.


Foto oleh Azneal Ishak/Malaysiakini. Malaysia, 2023.

"Kebanyakan spesies pokok ini memerlukan tempoh yang lama untuk ia tumbuh dan memenuhi kawasan pemulihan. Sebagai contoh, spesies Batai memerlukan masa lebih kurang 10 tahun.

"Hanya selepas tempoh itu, struktur tanah akan mulai stabil dengan tambahan nutrien dari daun yang gugur. Kesimpulannya kita anggarkan lebih kurang 15 hingga 20 tahun untuk mengembalikan semula keadaan asalnya yang berhutan," katanya seperti dipetik Berita Harian pada Ogos 2022.

Pengarah Perhutanan negeri itu memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa Pahang telah memperuntukkan RM3.4 juta tahun ini untuk aktiviti penanaman semula dan kesedaran awam, termasuk pembelian anak pokok di bawah program beli balik.

"Meneruskan aktiviti penanaman dan penghijauan kawasan bekas lombong pada tahun 2023 dalam kawasan seluas lebih kurang 140 hektar dengan menanam spesies tutup bumi.


Foto oleh Azneal Ishak/Malaysiakini. Malaysia, 2023.

"Pemantauan oleh pasukan penguatkuasa dijalankan secara berterusan dan berkala bagi mengekang aktiviti pencerobohan bagi tujuan pembalakan atau perlombongan haram," katanya lagi.

Hizamri turut menyeru agar semua pihak berganding bahu menyokong usaha pemuliharaan di Tasik Chini.

Teratai tunas harapan

Sementara itu, MNS Pahang berkongsi harapan tinggi untuk sekali lagi melihat pokok teratai merah jambu melitupi Tasik Chini.

Pengerui MNS Pahang Noor Jehan Abu Bakar, mengaitkan perkembangan itu hasil kerja-kerja pemuliharaan oleh Pusat Penyelidikan UKM Tasik Chini dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

"MNS Pahang telah mengikuti dan memerhati perkembangan di Tasik Chini dengan teliti. Kami gembira dan mengambil maklum bahawa kebanyakan aktiviti perlombongan telah dihentikan.

"Kami gembira melihat kini kualiti air tasik telah bertambah baik dan baru-baru ini bunga teratai merah jambu telah kelihatan di tasik itu," katanya.


Pengerui MNS Pahang Noor Jehan Abu Bakar. Foto oleh Malaysiakini. Malaysia, 2023.

"Ia benar-benar memberi kami harapan bahawa suatu hari nanti Tasik Chini akan dikenali semula sebagai tasik dengan teratai yang indah dan diletakkan semula dalam peta destinasi ekopelancongan untuk diketengahkan di Pahang," jelas Noor Jehan lagi.

Bagi Yom, dia juga berkongsi hasrat sama untuk masa depan Tasik Chini dan penduduknya yang bergantung hidup di tasik itu.

Pemandangan Tasik Chini dengan teratai merah jambu, kata Yom akan menumbuhkan harapan baru untuk melihat pelancong kembali melawat kampung budaya mereka.

"Perasaan tu memang ada gembira lah sikit. Macam tahun depanpun pelancongan dah ada balik, jadi kita bersemangatlah nak bawa pelancong ronda-ronda tasik tu.

"Kalau macam yang lepas-lepas tu, nak tengok pokok apa je? Tak ada apa nak tengok," katanya lagi.

RELATED TOPICS

yellow halftone illustration of an elephant

Topic

Environment and Climate Change

Environment and Climate Change
a yellow halftone illustration of a truck holding logs

Topic

Rainforests

Rainforests

RELATED INITIATIVES

yellow halftone illustration of a pangolin

Initiative

Rainforest Reporting Grants

Rainforest Reporting Grants

Support our work

Your support ensures great journalism and education on underreported and systemic global issues